Rabu, 14 Disember 2011

Pengenalan Pemulihan Khas


Program Pemulihan Khas telah dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) semenjak tahun 1960an bagi membantu murid-murid di sekolah rendah yang menghadapi masalah menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira ( 3M ). Pada tahun 1983, Sistem Pendidikan Malaysia telah memperkenalkan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR). Ia merupakan satu usaha untuk kembali semula kepada asas pendidikan dengan memberi fokus kepada 3M dan murid-murid yang tidak menguasainya dibantu melalui Program Pemulihan Khas. Pengajaran dan pembelajaran (p&p) pada Tahap 1 (Tahun 1-3) akan membolehkan guru-guru mengenalpasti murid-murid yang mempunyai masalah penguasaan asas 3M. Seterusnya pihak sekolah berusaha menyediakan Program Pemulihan Khas bagi mengatasi masalah penguasaan asas 3M. Fokus ke arah membasmi masalah 3M ini turut termaktub di dalam teras ketiga : Memperkasakan Sekolah Kebangsaan dan teras keempat : Merapatkan Jurang Pendidikan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006–2010 . Melalui kedua-dua teras ini, beberapa pelan tindakan dirancang untuk memastikan murid-murid menguasai kemahiran asas 3M pada tahap 1. KPM akan memperkasakan Program Pemulihan Khas dengan menaik taraf  kelas pemulihan dan menyediakan guru pemulihan khas terlatih yang mencukupi termasuk di Sekolah Kurang Murid (SKM).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan